Monday 13 June 2011

'Test Run Bus' untuk penetap luar UNIMAS : Hadiah drpd MPP !


          Pada 13 April 2011, pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan satu perjumpaan dengan pelajar yang tidak mendapat kolej dan menetap di desa ilmu. Perjumpaan tersebut diadakan di BS2, CTF1. Seramai 35 orang penetap luar UNIMAS telah menghadirkan diri.
Melalui perjumpaan ini, pihak MPP berjaya mengenalpasti beberapa masalah yang dihadapi oleh penetap luar UNIMAS, khususnya mereka yang menetap di Desa Ilmu. Isu utama yang dibangkitkan dalam perjumpaan tersebut adalah keselamatan bagi pelajar yang terpaksa berjalan kaki dari Desa Ilmu ke kampus timur, UNIMAS. Menurut aduan yang diterima, ramai pelajar perempuan diganggu secara seksual oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali di semak samun berhadapan pagar utama kampus timur UNIMAS. Isu yang kedua ialah kesukaran untuk bergerak ke UNIMAS terutamanya semasa hujan.
Selain mengupas masalah-masalah yang dialami oleh penetap luar UNIMAS, pihak MPP juga telah melakukan ‘test run’ bas  ke Desa Ilmu setelah selesai perjumpaan.  ‘Test run’  ini bertujuan untuk memperolehi maklumat tentang laluan yang sesuai sebagai sumber informasi tambahan untuk kegunaan pada masa hadapan. Melalui ‘test run’ ini, pihak MPP telah mengenal pasti beberapa lokasi perhentian yang sesuai berdasarkan statistik jumlah pelajar  yang  ramai turun di tempat tersebut. Masa perjalanan bas dari depo bas kampus timur ke Desa Ilmu mengambil masa lebih kurang 15 minit.
Secara kesimpulannya, perjumpaan seperti ini wajar dijalankan setiap tahun agar pihak MPP lebih peka terhadap masalah yang dihadapi oleh pelajar yang menetap di luar kampus dan bersama-sama memikirkan cara penyelesaian dan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu.



‘Membudayakan Kesarjanaan Mahasiswa dan Perpaduan Sejagat’
 Laporan ‘Perjumpaan MPP dengan Penetap Luar UNIMAS’
Oleh: Jasmin binti Mazelan
Exco Pengangkutan, Penempatan dan Keselamatan






Saturday 11 June 2011

UNIMAS antara 200 terbaik Asia !

Keratan Harian Metro, Selasa 7 Jun 2011



Akhbar Sarawak Review juga melaporkan :  
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) disenaraikan antara 200 Universiti terbaik di Asia oleh QS World University Ranking 2011 baru-baru ini. Pengiktirafan ini sekaligus membuktikan bahawa faktor Universiti muda dan terpencil dari arus permodenan bukan mejadi alasan untuk Unimas berdiri setanding dengan universiti terbaik yang lain di Asia.
Berita baik ini telah disampaikan sendiri oleh Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid. Menurut beliau, penganugerahan  ini merupakan hasil daripada usaha warga Unimas yang sentiasa memberi tumpuan khusususnya dalam meningkatkan profil Universiti itu di peringkat antarabangsa.
Dalam masa yang sama, aktiviti penyelidikan yang aktif serta peningkatan kualiti pada setiap usaha sama yang dijalankan turut menyumbang kepada penganugerahan ini.
“Kita telah memberi tumpuan terhadap kualiti dalam semua aspek Core Business kita. So sebab itu kita telah melihat dari segi Bench-Mark kita setiap apa yang kita buat, melihat kepada pencapaian yang dibuat oleh Universiti-Universiti lain. Jadi syukurlah dengan usaha kita selama tiga tahun lepas telah membuahkan hasil. Very pleasant surprise for us. Actually we don’t expect. Alhamdulillah” kata Prof. Datuk Dr. Khairuddin Hamid
Tambah beliau, Unimas kini dalam rangka untuk menjadikan Universiti itu sebagai  salah sebuah Universiti penyelidikan di negara ini menjelang 2015.
“Jadi, fasa seterusnya adalah untuk mencapai kecemerlangan. Mulai sekarang hingga tahun 2015, matlamat kita adalah untuk mencapai kecemerlangan dengan kata lain untuk mencapai status Universiti penyelidikan pada tahun 2015.
Beliau berkata sedemikian ketika merasmikan Majlis Ikrar Pelajar Pusat Pengajian Pra-U UNIMAS. Untuk pengambilan sesi kedua ini, seramai 611 pelajar telah dipilih daripada 10, 000 yang memohon untuk mengikuti program asasi sains.
Jumlah ini juga telah meningkat lebih 50 peratus jika dibandingkan dengan jumlah kumpulan pertama pada tahun lepas, hanya seramai 260 orang pelajar. Peningkatan jumlah ini  telah mebuktikan bahawa program asasi sains Unimas ini dikenali oleh masyarakat dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakan di kalangan ibu bapa.
Kebanyakan pelajar yang ditemui  melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti program asasi sains di UNIMAS, walaupun terpaksa berjauhan dari keluarga.
“Ini merupakan kali pertama saya datang ke sarawak dan saya berharap saya akan dapat belajar dengan baik dan dapat memperoleh keputusan yang cemerlang di sini”, kata Nor Eizzah Lia Mohd. Nafi, pelajar Program Asasi Sains Hayat.
Bagi Mohd. Iqbal pula, terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Pusat Pengajian Pra-U UNIMAS merupakan pengalaman yang paling menyeronokan.
“Datang ke Sarawak seorang diri memberikan saya satu pengalaman yang menyeronokan kerana apa yang saya dapat adalah saya dapat pergi ke satu tempat yang baru, saya dapat belajar untuk berdikari, belajar jauh daripada kluarga, untuk mencapai cita-cita saya sendiri” katanya.

Buletin Minda Pemimpin Pelajar (MPP)

Muka depan Bil 01
Muka belakang Bil 01

Artikel Saudara YDP MPP UNIMAS disiarkan dalam Berita Harian

Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian, VARSITI Bil 71, 19 – 25 Mei 2011



Palestin Perlu Sokongan Antarabangsa

MPP UNIMAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama golongan mahasiswa untuk memperingati peristiwa yang sangat menyayat hati yang berlaku pada bulan Mei 1948. Untuk pengetahuan, bulan Mei 2011 ini genap 63 tahun Negara Palestin hilang dalam peta dunia akibat daripada pengisytiharan Negara Israel ataupun lebih jijik dikenali sebagai ‘Hari Kemerdekaan Israel’. Hari yang dikenali sebagai Nakbah ini terjadi apabila Rejim Zionis Israel telah mengubah paradigma dunia kononnya mereka memperjuangkan kemerdekaan sedangkan secara hakikatnya mereka telah menodai tanah dan jiwa rakyat Palestin dengan mengusir penduduknya dari tanah tumpah darah mereka. Peta Negara Palestin digantikan dengan Negara Israel dalam keadaan 800 000 rakyat Palestin dipaksa meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
  
Perjuangan membela dan membebaskan rakyat Palestin semakin signifikan dalam jiwa rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi dengan tragedi serangan besar-besaran keatas Gaza pada Disember 2008 sehingga suku pertama tahun 2009.  Dalam keadaan luka yang masih berdarah, dunia terus dikejutkan dengan tragedi ‘Mavi Marmara’ dalam misi ‘Freedom Flotilla’ pada pertengahan tahun 2010 yang lepas yang menyaksikan kekejaman komando Israel membunuh 9 orang aktivis kemanusiaan misi ini di perairan antarabangsa. Peristiwa ini sangat memberi kesan kepada rakyat Malaysia kerana ianya turut melibatkan 12 aktivis kemanusiaan Palestin dari Malaysia. Jika sebelum ini rakyat Malaysia kurang merasai perasaan kekitaan dalam perjuangan membela rakyat palestin, kali ini persepsi tersebut 360 darjah telah berubah dek kerana komando Israel tersebut turut menyerang aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi tersebut. Rakyat Malaysia telah merasai perasaan cemas, geram dan benci akibat daripada serangan Komando Israel !  MPP UNIMAS mengucapkan tahniah kepada 12 aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi ini kerana anda telah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada kami untuk merasai betapa kami perlu bangkit untuk membela dan membebaskan rakyat Palestin. 

MPP UNIMAS juga percaya bahawa rakyat Malaysia turut merasai gelombang perubahan yang berlaku di dunia Arab pasca 2011 ini. Teori ‘bakar diri’ yang bermula di Tunisia yang akhirnya menumbangkan diktator Ben Ali di Tunisia terus merebak ke Mesir. Siapa sangka Rejim Hosni Mobarak akan runtuh dalam keadaan yang sangat hina setelah lebih 30 tahun menzalimi masyarakat dunia.  Kebangkitan rakyat Negara-negara Arab ini sebenarnya telah memerdekakan mereka daripada kutukan dan tohmahan masyarakat dunia yang ditimpa kepada mereka kerana dinaungi oleh rejim-rejim Arab yang melindungi Israel. Kini, mereka mula lantang menebus maruah yang tercalar di tanah air mereka dan juga di bumi kesayangan mereka, Palestin. Dunia pula semakin lantang menyuarakan pandangan dan memberikan ruang yang semakin luas kepada rakyat Palestin untuk mempertahankan diri mereka. Hal ini dapat dilihat apabila persepsi masyarakat dunia terhadap Israel sudah berubah. Masyarakat semakin cerdik menilai. Israel ataupun dikenali sebagai ‘Rogue State’ ini berhadapan dengan cemuhan dan bantahan pemimpin dunia. Sehinggakan senario pasca Israel mula dibahas oleh penganalisis konflik Palestin-Israel atas unjuran entiti Israel bakal lenyap dari lanskap politik timur tengah.

Dalam hanya beberapa bulan sahaja, satu berita gembira telah diumumkan apabila Menteri Luar Mesir telah memberi jaminan untuk membuka sempadan Rafah ke Gaza dalam masa yang terdekat. Sempadan tersebut adalah merupakan pintu penting kepada pembebasan kepungan Israel ke atas Gaza yang sudah melewati lima tahun. Kepungan yang juga dikenali sebagai ‘penjara terbesar dunia’ ini telah menyebabkan bantuan makanan, perubatan dan infrastruktur tidak boleh memasuki Gaza sedangkan dalam masa yang sama, rakyat Gaza diserang bertubi-tubi dari luar kepungan. Berita yang lebih menggembirakan ialah persetujuan HAMAS dan FATAH dalam membentuk kerajaan perpaduan. MPP UNIMAS sangat teruja dengan berita ini memandangkan pada awalnya kedua-dua parti ini kelihatan mustahil untuk bekerjasama akibat daripada perjanjian-perjanjian damai yang seringkali gagal. MPP UNIMAS melihat peristiwa bersejarah ini adalah indikator yang jelas menunjukkan bahawa  pengaruh Israel semakin lemah dan rakyat Palestin terus mendapat sokongan masyarakat dunia. 

MPP UNIMAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Mesir atas keputusan untuk membuka sempadan Rafah. MPP UNIMAS juga mengalu-alukan kerajaan perpaduan HAMAS-FATAH seperti yang disebutkan oleh Khaled Meshaal dalam pengesahan perjanjian damai antara Hamas dan Fatah
 “Matlamat kita ialah untuk menubuhkan sebuah Negara Palestin yang benar-benar berdaulat lagi bebas di bumi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang ibu negaranya di Jerusalem, tiada langsung penempatan haram yahudi dan tidak langsung menyerahkan walau seinci pun bumi Palestin dan tanpa mengalah dalam mempertahankan hak pelarian Palestin dalam kembali ke tanah airnya”. 

Gagasan baru ini dilihat dapat menjadi medium penting kepada penyatuan rakyat Palestin dalam membebaskan diri dari cengkaman rejim Zionis. Di peringkat mahasiswa, MPP UNIMAS melihat perkara ini sebagai satu inspirasi untuk kami terus menggiatkan usaha dalam memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang telah berlaku kepada rakyat Palestin. MPP UNIMAS juga bersedia untuk berkolaborasi dengan IPT serta agensi kerajaan mahupun swasta bagi memastikan agenda pembebasan dan pembelaan rakyat Palestin menjadi agenda utama dalam diri golongan belia negara Malaysia.

Muhammad Mus'ab bin  Muzahar
Yang Di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)


Artikel ke 2 Saudara YDP MPP disiarkan dalam Berita Harian
Jadikan Tragedi Negara Lain Sebagai Iktibar

Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian, Varsiti 26 Mei - 1 Jun